CommonLII [Home] [Help] [Databases] [WorldLII] [Feedback] JMCL Home Page

Journal of Malaysian and Comparative Law

You are here:  CommonLII >> Malaysia >> other >> JMCL >> 2002 >> [2002] JMCL 8

[Global Search] [JMCL Search] [Help]

Notis Konstruktif & Kaedah Dalam Royal British Bank v Turquand

Sistem pengumuman dan pendaftaran

Undang-Undang Syarikat moden dibina di atas beberapa batu asas. Salah satu daripada batu asas itu ialah prinsip pengumuman dan pendedahan maklumat mengenai sesebuah syarikat berdaftar. Akta Syarikat 1965 memerlukan setiap syarikat mendaftarkan dengan Pendaftar Syarikat beberapa jenis dokumen[1] yang akan mengandungi butiran tertentu mengenai syarikat. Selain itu, setiap syarikat dikehendaki menyimpan dan menyelenggarakan beberapa buku daftar2 di pejabat berdaftarnya. Buku-buku berdaftar itu akan mengandungi maklumat tertentu berkenaan urusan-urusan, ahli-ahli dan pegawai-pegawai syarikat. Dokumen-dokumen dan buku-buku berdaftar tersebut adalah terbuka untuk pemeriksaan oleh ahli-ahli syarikat dan pihak luar yang berminat untuk mendapat maklumat umum atau maklumat tertentu mengenai sesebuah syarikat. Sistem pendaftaran dokumen-dokumen dan sistem penyimpanan buku-buku daftar adalah salah satu daripada beberapa cara untuk menentukan pengumuman dan pendedahan maklumat syarikat bagi menjamin wujudnya ketelusan dalam pentadbirannya. Tujuannya bukan sahaja untuk melindungi pihak luar (terutama bakal pelabur dan pemiutang syarikat) dengan memberi maklumat. Ia juga merupakan suatu langkah pencegahan terhadap frod dan tindakan-tindakan tidak jujur oleh pegawai-pegawai syarikat. Selain itu ia juga dapat membantu Pendaftar Syarikat menjalankan pengawalan beliau terhadap semua syarikat berdaftar.

Notis konstruktif

Walaupun sistem pendaftaran dokumen-dokumen dengan Pendaftar Syarikat diwujudkan bagi kebajikan ahli-ahli syarikat dan pihak luar, kadangkala sistem itu boleh bertindak sebagai suatu halangan kepada mereka. Mengikut kes Ernest v Nicholls[3] yang telah diputuskan oleh House of Lords pada tahun 1857, pihak luar yang berurusan dengan sesebuah syarikat dianggap mempunyai notis konstruktif (notis tersirat) mengenai beberapa jenis dokumen yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat sungguhpun ia sebenarnya tidak pernah menyemak dokumen-dokumen itu atau tidak mengetahui kandungan dokumen-dokumen itu.Menurut Lord Wensleydale dalam kes itu,4

“Setiap orang hendaklah mengambil notis berkenaan dengan suratikatan waad,5 dan peruntukan-peruntukan Akta. Jika mereka memilih untuk tidak memaklumkan diri mereka dengan kuasa-kuasa pengarah, itu adalah kesilapan mereka sendiri...”

Contoh kesan kewujudan doktrin notis konstruktif adalah sekiranya artikel-artikel persatuan sesebuah syarikat menetapkan had-had di atas kuasa pengarah untuk berkontrak, pihak luar yang berurusan dengan syarikat itu akan dianggap mempunyai notis mengenai had-had itu. Dengan ini mereka tidak boleh menyatakan yang mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai had-had itu.

Satu contoh kes di Malaysia dimana pemakaian doktrin ini dibincangkan adalah Woodland Development Sdn Bhd v Chartered Bank (PJTV & Densun (M), Third Party)6 Gunn Chit Tuan J telah menyatakan7

“Doktrin ini ialah oleh kerana memorandum dan artikel-artikel sesebuah syarikat adalah dokumen awam dan terbuka untuk pemeriksaan awam sesiapa yang mempunyai urusan dengan syarikat itu mestilah dianggap sebagai mempunyai notis kandungan-kandungan dokumen itu sama ada beliau telah membaca dokumen itu atau tidak.”

Dokumen-dokumen Awam

Dokumen-dokumen sesebuah syarikat yang perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat biasanya dirujuk sebagai “dokumen-dokumen awam”. Ini kerana dokumen itu adalah terbuka kepada sesiapa sahaja untuk pemeriksaan. Contohnya dalam kes KL Engineering Sdn Bhd v Arab Malaysian Finance Bhd[8] Mohamed Dzaiddin SCJ telah menyatakan9,

“Di dalam Undang-Undang Syarikat, notis konstruktif bermakna bahawa seseorang yang berurusan dengan sesebuah syarikat berdaftar adalah dianggap mempunyai notis mengenai kandungan dokumen-dokumen awamnya.”

Tidak jelas daripada kes-kes sama ada seseorang luar dianggap mempunyai notis mengenai semua dokumen yang didaftarkan dengan Pendaftar. Adalah jelas bahawa dia dianggap sebagai mempunyai notis mengenai memorandum persatuan dan artikel-artikel persatuan[10], resolusi-resolusi khas[11], dan dokumen-dokumen mengenai gadaian yang telah didaftarkan.[12] Sama ada pihak luar dianggap sebagai mempunyai notis mengenai Kandungan Pulangan Tahunan (“Annual Return”) menjadi tanda tanya. Beberapa orang penulis berpendapat dokumen-dokumen yang hanya memberi maklumat am dan tidak berkaitan dengan kuasa syarikat atau ejen-ejennya tidak akan disifatkan sebagai dokumen-dokumen awam bagi tujuan notis konstruktif.[13]

Dalam kes KL Engineering Sdn Bhd v Arab Malaysian Finance Bhd[14] suatu persoalan yang telah timbul adalah sama ada pihak luar mempunyai notis konstruktif daripada Borang 49.[15] Borang ini memberi butir-butir mengenai pengarah, pengurus dan setiausaha syarikat. Setiap syarikat diwajibkan memfailkan borang tersebut dengan Pendaftar Syarikat.[16] Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Borang 49 merupakan suatu dokumen awam. Mohamed Dzaiddin SCJ telah menyatakan:[17]

“Ia adalah suatu dokumen yang melibatkan kuasa syarikat dan ejen-ejennya. Memang, tujuannya lebih daripada semata-semata memberi maklumat mengenai pengarah-pengarah, pengurus-pengurus dan setiausaha-setiausaha syarikat. Oleh yang demikian, orang-orang yang berurusan dengan syarikat itu perlu menyemak dengan Pendaftar Syarikat mengenai siapakah pengarah-pengarah, pengurus-pengurus atau setiausaha-setiausaha syarikat pada suatu masa tertentu.”

Di sini penulis mencadangkan rujukan perlu dibuat kepada buku-buku daftar sesebuah syarikat yang diwajibkan disimpan di pejabat berdaftarnya. Sungguhpun buku-buku daftar tersebut terbuka untuk penyemakan, tetapi tidak mungkin mahkamah akan memakai prinsip notis konstruktif terhadap buku-buku itu. Ini adalah seperti dihujahkan oleh Gower[18] dimana dalam kes-kes mengenai estoppel[19] berkenaan sijil syer secara tersirat menunjukkan bahawa notis konstruktif tidak akan dipakai terhadap buku pendaftaran ahli[20]. Kami berpendapat bahawa doktrin notis konstruktif ini tidak seharusnya dipakai terhadap buku-buku daftar yang disimpan di pejabat berdaftar syarikat. Pemakaian doktrin in patut dihadkan kerana pemakaian yang terlampau meluas boleh mendatangkan kesulitan kepada pihak yang bertindak dengan suci hati.

Keupayaan, fasal objek dan doktrin notis konstruktif

Di bawah Common Law suatu tindakan atau urusan yang melanggar fasal objek sesebuah syarikat di dalam memorandum persatuannya adalah ultra vires dan batal disegi undang-undang.[21] Jika tindakan atau urusan itu ultra vires pihak luar tidak boleh menguatkuasakannya terhadap syarikat yang berkenaan. Di bawah Common Law setiap orang yang berurusan dengan sesebuah syarikat adalah dianggap mempunyai notis konstruktif mengenai fasal objek di dalam memorandum persatuan syarikat itu. Oleh itu ia tidak boleh membela diri dengan menyatakan bahawa dia tidak pernah membaca dokumen itu.[22]

Di Malaysia pemakaian kaedah Common Law yang menyatakan bahawa pihak luar tidak boleh menguatkuasakan suatu urusan yang ultra vires terhadap syarikat berkenaan telah diketepikan oleh seksyen 20(1) Akta Syarikat 1965.23 Akibat seksyen 20(1) kedua-dua, iaitu syarikat dan pihak luar tidak boleh membangkitkan isu ultra vires sebagai suatu pembelaan. Akta Syarikat 1965 tidak mengandungi apa-apa peruntukan jelas yang menyatakan bahawa pihak luar itu tidak akan dianggap mempunyai notis konstruktif mengenai kandungan fasal objek atau keupayaan sesebuah syarikat. Namun begitu adalah dianggap bahawa doktrin itu tidak terpakai bagi tujuan seksyen 20(1). Ini kerana jika doktrin itu dipakai kepada seksyen 20, maka seksyen itu akan kehilangan fungsinya. Disini penulis ingin menyarankan bahawa untuk menghapuskan semua keraguan mengenai perkara ini peruntukkan-peruntukan khas seperti terdapat di England di dalam Companies Act 1985 dimasukkan ke dalam Akta Syarikat Malaysia , iaitu Akta Syarikat 1965. Seksyen 35A Companies Act 1985 melindungi pihak luar yang berurusan dengan syarikat dengan suci hati. Menurut seksyen ini kuasa lembaga pengarah untuk mengikat syarikat akan dianggap sebagai tidak mempunyai apa-apa had di bawah perlembagaan syarikat bagi faedah pihak luar yang berurusan dengan suci hati. Seksyen 35B menyatakan pihak luar tidak diwajibkan untuk menyiasat mengenai had-had ke atas kuasa-kuasa pengarah untuk mengikatkan syarikat mereka. Tambahan pula seksyen 711A menyatakan bahawa pihak luar tidak boleh dianggap sebagai mempunyai notis mengenai apa-apa perkara hanya kerana ia didedahkan di dalam suatu dokumen yang disimpan oleh Pendaftar Syarikat.

Apakah kedudukan undang-undang di Malaysia jika pihak luar yang berurusan dengan sebuah syarikat sebenarnya mengetahui ketidakupayaan syarikat? Dalam keadaan begitu orang luar yang mempunyai pengetahuan sebenar itu dilindungi daripada kesan doktrin ultra vires oleh seksyen 20(1). Ini adalah kerana seksyen ini memperuntukkan bahawa pihak luar akan dilindungi daripada sebarang dakwaan yang syarikat tidak mempunyai keupayaan. Namun demikian oleh kerana pihak luar mengetahui ejen-ejen syarikat memecah kewajipan mereka kepada syarikat mereka, urusan pihal luar dengan syarikat itu adalah boleh batal (’voidable’) di atas pilihan syarikat.24

Kaedah Turquand

Apabila pihak luar mempunyai suatu urusan dengan sesebuah syarikat ia akan berurusan dengan ejen syarikat tersebut, contohnya seorang pengarah urusan, pengarah, setiausaha atau seorang pekerja syarikat itu. Ejen-ejen syarikat mempunyai kuasa nyata, kuasa tersirat dan kuasa zahir untuk bertindak bagi pihak syarikat mereka.[25] Kuasa mereka adalah tertakluk kepada memorandum persatuan, artikel-artikel persatuan dan dokumen-dokumen tertentu yang boleh disemak di pejabat Pendaftar Syarikat. Tambahan pula apabila mereka menggunakan kuasa mereka, mereka mungkin tertakluk kepada beberapa peraturan dalaman syarikat yang tidak boleh ditentukan dengan menyemak dokumen-dokumen di pejabat Pendaftar Syarikat..[26] Suatu soalan penting ialah adakah pihak luar yang berurusan dengan sesebuah syarikat dikehendaki menentukan atau menyemak sama ada semua peraturan dalaman syarikat itu telah dipatuhi. Adalah tidak adil bagi pihak luar sekiranya mereka perlu berbuat demikian, ini kerana akan wujud keadaan dimana maklumat sebenar tidak akan diperolehi. Lebih-lebih lagi pihak syarikat sepatutnya memastikan segala peraturan syarikat dipatuhi kerana mereka mempunyai ruang untuk berbuat demikian. Oleh itu untuk menolong dan melindungi pihak luar yang berurusan dengan sebuah syarikat, mahkamah di England telah mewujudkan suatu kaedah yang dipanggil kaedah dalam Royal British Bank v Turquand.[27]

Mengikut kaedah ini asalkan sahaja tindakan pegawai syarikat itu tidak bertentangan dengan kuasa di dalam dokumen awamnya maka seseorang yang berurusan dengan syarikat tidak berkewajipan mendalami sama ada kesemua tindakan-tindakan pengurusan dalaman yang perlu telah dipatuhi. Seperti yang telah dikatakan oleh Lord Hatherley di dalam Mahony v East Holyford Mining Co.,[28]

“Apabila terdapat sesiapa yang menjalankan urusan syarikat dengan suatu cara yang nampaknya mengikut artikel-artikel persatuannya dengan tepat, maka mereka yang berurusan begitu dengannya, secara luaran tidak akan dikenakan akibat dari apa-apa yang tidak betul yang boleh terjadi di dalam pengurusan dalaman syarikat itu”.[29]

Royal British Bank v Turquand adalah mengenai sebuah syarikat suratikatan waad.[30] Suratikatan yang didaftarkan itu memberi kuasa kepada pengarah untuk meminjam melalui bon sekiranya ianya diluluskan oleh suatu resolusi am syarikat itu. Pengarah telah meminjam dari sebuah bank dan telah mengeluarkan bon yang mempunyai mohor syarikat. Semasa pembicaraan berkenaan bon itu telah dikatakan bahawa resolusi berkenaan telah tidak diluluskan.[31] Walaubagaimana pun diputuskan bahawa pihak bank berhak mendakwa pihak syarikat itu berkaitan bon tersebut. Pihak bank boleh berbuat demikian kerana ia tidak mempunyai pengetahuan berkaitan perkara sebenar, oleh itu ia bukan kesalahan mereka jika perkara dalaman syarikat tidak dipatuhi. Jervis C.J. telah berkata,[32]

“Kita sekarang bolehlah menerima dengan yakin bahawa urusan-urusan dengan syarikat tidaklah sama dengan urusan-urusan dengan perkongsian-perkongsian lain, dan bahawa pihak-pihak yang berurusan dengannya adalah berkewajipan membaca statut dan suratikatan waad. Tetapi mereka tidak berkewajipan membuat lebih dari itu. Dan pihak berkenaan di sini, apabila membaca suratikatan waad, akan mendapati, bukannya suatu penegahan dari meminjam, tetapi satu kebenaran untuk membuatnya berdasarkan syarat-syarat tertentu”.

Di Malaysia, dalam kes Thong Guan Co (Pte) Ltd v Lam Kong Co Ltd (No. 2)[33] prinsip dalam kes Turquand telah diterima pakai. Kes ini telah melibatkan penjualan tanah oleh sebuah syarikat. Kontrak penjualan tanah itu telah ditandatangani oleh pengarah urusannya bernama Thong Kong Fye dan setiausahanya bernama Koh Kok Peng. Apabila syarikat itu didakwa berkenaan kontrak itu salah suatu daripada pembelaan-pembelaan yang dibangkitkan oleh syarikat ialah bahawa Thong Kong Fye dan Koh Kok Peng tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kontrak penjualan tanah itu. Syarikat itu telah menghujahkan bahawa dua daripada empat orang pengarahnya telah meletakkan jawatan-jawatan mereka sehari sebelum kontrak jualan ditandatangani. Pihak syarikat juga menghujahkan bahawa Kok Koh Peng telah tamat menjadi setiausaha syarikat itu pada hari kontrak jualan itu ditandatangani. Kedua-dua maklumat itu tidak boleh didapati daripada dokumen-dokumen yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat sekiranya pihak plaintif membuat penyemakan. Yang Arif Hakim dalam kes ini telah menyatakan bahawa sekiranya plaintif membuat pemeriksaan dan penyemakkan pada 28hb Julai 1967 (tarikh perjanjian jual-beli itu), semua perkara akan kelihatan sempurna.[34] Mahkamah telah memutuskan bahawa kaedah Royal British Bank v Turquand boleh diterima pakai dalam kes ini. Ini kerana syarikat itu telah menerimapakai Table A sebagai artikel-artikelnya dan artikel 70 telah memberi kuasa pengurusan kepada pengarah urusannya. Plaintif tidak ada apa-apa maklumat atau syak mengenai kuasa yang ada pada Thong Kong Fye dan Koh Kok Peng dan juga urusan dalaman syarikat itu. Oleh itu plaintif adalah dilindungi oleh kaedah tersebut di atas.

Perkara yang sama juga diputuskan dalam kes Tan Ah Tong v Perwira Habib Bank Malaysia Bhd.[35] Kes ini merupakan suatu keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia. Dalam kes ini perayu telah memberi suatu gerenti untuk suatu pinjaman yang telah dibuat oleh Bank X kepada syarikat Y Sdn Bhd. Perayu telah mendakwa bahawa dia telah dilepaskan daripada pinjaman itu oleh Z, seorang yang memegang jawatan “Senior General Manager/Secretary” di dalam bank tersebut. Di bawah peraturan dalaman bank itu suatu pelepasan seseorang penjamin hanya boleh dibuat oleh sebuah jawatankuasa. Manakala Z iaitu “Senior General Manager/Secretary” hanya menjadi salah seorang ahli jawatankuasa itu. Namun demikian Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa perayu boleh menggunakan pelepasan oleh Z sebagai satu pembelaan. Ini kerana perayu tidak mengetahui bahawa Z tidak mempunyai kuasa untuk membuat pelepasan tersebut. Perayu tidak ada cara untuk mengetahui peraturan dalaman bank tersebut bahawa hanya sebuah jawatankuasa boleh melepaskan seorang penjamin. Tambahan pula Z bukan seorang pekerja biasa. Dia memegang jawatan tinggi dalam bank itu. Dengan ini perayu boleh bergantung kepada kaedah dalam Royal British Bank v Turquand.

Satu perkara menarik dalam kes ini Tan Ah Tong adalah bahawa Mahkamah Rayuan bersedia untuk mengiktiraf bahawa sesuatu kuasa yang begitu luas, iaitu, kuasa untuk melepaskan seseorang penjamin, boleh dilaksanakan oleh pegawai yang memegang jawatan Senior General Manager/Secretary institusi kewangan in..

Kekecualian kepada kaedah Turquand

Walaupun kaedah dalam kes Royal British Bank v Turquand diwujudkan bagi melindungi pihak luar tetapi pemakaiannya dihadkan dalam keadaan tertentu. Dengan ini pemakaian prinsip Turquand ini adalah tertakluk kepada kaedah-kaedah berikut:

(a) Tindakan yang bertentangan dengan dokumen awam

Jika seorang pegawai menjalankan suatu tindakan yang jelas bertentangan dengan dokumen awam syarikatnya maka tindakan tersebut tidak akan mengikat syarikat. Tidak timbul soalan urusan dalaman atau pengetahuan di sini. Oleh itu jika artikel-artikel memperuntukkan bahawa kesemua kontrak oleh syarikat mestilah ditandatangani oleh dua orang pengarah, maka syarikat tidaklah akan terikat kepada suatu kontrak yang ditandatangani oleh seorang pengarah sahaja. Walaubagaimana pun syarikat boleh, jika ianya berhajat sedemikian, mengesahkan tindakan yang diluar kuasa itu. Pengesahan sebegitu akan mengikat syarikat asalkan pengesahan itu dibuat oleh suatu anggota syarikat yang wajar.

Dalam kes KL Engineering Sdn Bhd & Anor v Arab Malaysian Finance Bhd[36] Y telah memberi kemudahan sewa-beli kepada syarikat X pada tahun 1986. Pada tahun tersebut seorang bernama Koh telah menandatangani perjanjian sewa-beli yang berkenaan bagi pihak syarikat X sebagai pengarah syarikat itu. Sebenarnya Koh telah bersara sebagai pengarah pada tahun 1986. Fakta ini jelas daripada dokumen-dokumen yang telah difailkan dengan Pendaftar Syarikat. Maka Y dianggap mempunyai notis konstruktif mengenai Koh tidak ada kuasa untuk bertindak bagi pihak Syarikat X. Oleh transaksi itu diputuskan tidak mengikat Syarikat X.

(b) Mempunyai notis yang nyata

Walaupun seseorang yang berurusan dengan syarikat tidak berkewajipan mempastikan agar kesemua tindakan-tindakan urusan dalam yang perlu telah diambil, akan tetapi beliau tidak boleh bergantung kepada kaedah Turquand jika beliau dibuktikan mempunyai notis tentang apa-apa penyelewengan dalam pengurusan. Di dalam Howard v Patent Ivory Manufacturing Co.[37] artikel-artikel sebuah syarikat telah memberi kuasa kepada pengarah-pengarahnya untuk meminjam sehingga £1,000 bagi pihak syarikat. Lebih dari jumlah itu memerlukan kebenaran dari suatu mesyuarat am. Pengarah-pengarah telah meminjam £3,500 kepada syarikat tanpa persetujuan suatu mesyuarat am. Pengarah-pengarah itu diberi debentur oleh syarikat itu. Berikutnya syarikat itu telah dibubarkan dan pengarah mendakwa di atas debentur tadi. Hakim Kay memutuskan bahawa mereka, sebagai pengarah, telah mengetahui bahawa pengurusan dalaman syarikat telah tidak dipenuhi, maka mereka tidaklah boleh bergantung kepada kaedah Turquand.

Hakim yang arif itu telah berkata[38],

... di dalam kes ini, nasib tak baiknya bagi pemegang debentur itu, mereka semuanya adalah pengarah, dan dengan itu nas yang masyhur yang menjadikan tidak perlu seseorang itu mempastikan sama ada aturan dalaman sesebuah syarikat telah dipatuhi atau tidak, tidaklah terpakai; kerana, sudah tentunya, pengarah-pengarah itu mestilah dianggap mengetahui bahawa keperluan dalam syarikat itu telah tidak dipatuhi di dalam kes debentur tersebut. Dengan itu, saya berdukacita mengatakan bahawa saya tidak dapat menganggap debentur itu sebagai sah melebihi dari £1,000.”

(c) Keadaan yang membuat orang luar harus menyiasat

Kaedah Turquand tidak terpakai jika terdapat keadaan-keadaan yang sepatutnya membuat pihak luar harus menyiasat terlebih dahulu. Oleh itu dalam keadaan dimana seorang pengarah tunggal dan pemegang syer yang paling besar di dalam sebuah syarikat memasukkan cek yang dikeluarkan untuk syarikat ke dalam akaunnya sendiri maka Mahkamah telah memutuskan bahawa Bank berkenaan tidak boleh bergantung kepada kaedah Turquand. Bank itu harus menyiasat dan sepatutnya telah menyelidik sama ada pengarah itu boleh berbuat demikian.[39] Di dalam Kreditbank Cassel v Schenkers Ltd.[40] artikel-artikel syarikat memperuntukkan bahawa pengarahnya akan memutuskan siapa yang boleh menandatangani, inter alia, bil penukaran bagi pihak syarikat. Pengurus cawangannya di Manchester telah, secara menipu, mengeluarkan bil-bil tertentu di atas nama syarikat. Beliau telah menandatangani bil itu di atas perkataan “Pengurus Manchester”. Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa pemegang-pemegang bil tersebut tidak boleh mengenakan tanggungan ke atas syarikat itu di bawah kaedah Turquand. Mereka tidak berhak menganggap bahawa seorang pengurus cawangan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan dan menandatangani bil-bil.

Di sini rujukan perlu dibuat kepada Pekan Nenas Industries Sdn Bhd v Chang Ching Chuan & Ors[41]. Chang Ching Chuen (“Chang”), isteri pertama dan isteri keduanya serta beberapa orang ahli keluarganya menjadi ahli-ahli lembaga pengarah syarikat A. Aset utama syarikat A adalah enam bidang tanah di Johor. Suatu mesyuarat lembaga pengarah telah diadakan pada 17.4.1990. Akibat mesyuarat itu isteri kedua Chang telah dipecat daripada jawatanya sebagai pengarah. Notis mengenai mesyuarat itu tidak diberi kepada Chang, isteri keduanya dan seorang pengarah yang lain. Pada 10.5.90 suatu lagi mesyuarat lembaga pengarah baru syarikat A telah diadakan. Mesyuarat itu telah memutuskan untuk memecat Chang sebagai pengarah urusan. Pada 26.5.1990 lembaga pengarah baru syarikat A telah bermesyuarat dan memutuskan untuk menjual tanah-tanah yang dimiliki oleh syarikat itu. Pada 6.9.1990 Chang telah mendaftarkan kaveat terhadap tanah-tanah tersebut di atas. Perisytiharan statutori kepada kaveat itu telah membangkitkan beberapa perkara yang menimbulkan syak terhadap keselamatan dokumen hakmilik tanah-tanah yang tersebut di atas. Dalam pada itu T, seorang pengarah sebuah syarikat yang lain, Pekan Nenas Industries Sdn Bhd (“P”) berminat membeli tanah yang tersebut di atas untuk syarikat itu. T telah mendapat tahu mengenai kaveat Chang dan telah bertanya mengenai perkara ini kepada isteri pertama Chang, yang menjadi seorang pengarah dan setiausaha syarikat A. Isteri pertama itu telah mengesahkan kepada T bahawa dokumen hakmilik yang berkenaan adalah selamat. Pada 3.12.1990 suatu kontrak penjualan tanah itu telah ditandatangani antara syarikat A dan P. Pada 29.12.1990 Chang telah mendaftarkan kaveat yang kedua. Dalam kaveat kedua Chang telah menyatakan bahawa beliau masih menjadi pengarah urusan syarikat A dan ahli-ahli lain syarikat A sedang cuba menjual tanah tersebut di atas tanpa persetujuannya. T telah mendapat tahu mengenai kaveat itu. Isteri pertama telah memberitahu T bahawa syarikat A akan mengambil tindakan untuk membatalkan kaveat yang kedua itu. Pada 15.3.1991 P telah membayar baki harga jualan berjumlah RM4,132,000 secara tunai kepada syarikat A. Selepas itu Chang dan isteri keduanya telah memulakan suatu tindakan di Mahkamah Tinggi untuk menghalang penjualan tanah itu. Di Mahkamah Tinggi Haidar H telah memutuskan bahawa P tidak dapat bergantung kepada kes Turquand. Mengikut Hakim yang arif itu, P mempunyai notis berkenaan ketidaksempurnaan urusan jualan itu dan mengisytiharkan kontrak penjualan tanah-tanah itu batal.[42] Mahkamah Rayuan sesudah membuat analisis penuh menyokong keputusan Mahkamah Tinggi. Pada pendapat mahkamah itu, fakta-fakta kes ini sepatutnya menimbulkan syak-syak tinggi di dalam pemikiran seorang yang munasabah.[43] Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan keputusan itu. Pada pendapat mahkamah itu, P telah bergantung kepada resolusi lembaga pengarah pada 26.5.1990 untuk menjual tanah itu. P tidak tahu bahawa mesyuarat itu tidak diadakan dengan sempurna. Ketaksempurnaan melibatkan peraturan dalaman dan P dilindungi oleh kaedah Turquand. Mengenai kaveat pertama ia tidak merujuk kepada pergaduhan keluarga. Peguam bagi P telah menasihatkan bahawa “tidak ada apa masalah” untuk membatalkan kaveat itu. Tambahan pula borang 49 telah menunjukkan pengarah-pengarah yang telah menandatangani kontrak jualan tanah yang berkenaan memegang jawatan-jawatan tersebut dalam syarikat A. Isteri pertama menjadi seorang pengarah dan setiausaha telah memberitahu T bahawa dokumen-dokumen hakmilik bagi tanah itu selamat. Mengenai kaveat kedua, T telah dinasihatkan oleh peguam bahawa tidak wujud masalah untuk membatalkannya. Tambahan pula pembayaran baki harga jualan dibuat di atas nasihat peguam.

Disini penulis ingin menyarankan bahawa memandang kepada fakta-fakta kes ini P harus menyiasat lebih lanjut dan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan perlu disokong.

(d) Doktrin notis konstruktif timbul bagi faedah syarikat dan tidak timbul

bagi faedah orang luar

Kadangkala seorang pegawai syarikat akan cuba menguatkuasakan suatu kuasa yang tidak selalunya ada atau pada amalannya tiada padanya, misalnya seorang pengurus kilang padi cuba membeli gula untuk kilang itu. Ini adalah kes seorang ejen bertindak diluar kuasa zahirnya. Jika artikel-artikel dengan nyata tidak memberinya apa-apa kuasa sedemikian maka sama ada pihak lain yang berkontrak dengannya itu telah membaca artikel-artikel ataupun tidak membaca, tidaklah menjadi mustahak. Jika artikel-artikel memberi suatu kuasa luarbiasa maka sama ada pihak luar itu telah membaca artikel atau tidak, adalah mustahak. Ini adalah kerana jika beliau telah membacanya dan bergantung kepadanya maka ianya menyekat syarikat dari menyatakan bahawa pegawai tersebut tidak ada kuasa yang dipertikaikan itu. Jika beliau telah tidak membacanya sudah tentulah beliau tidak dapat mengatakan bahawa beliau telah bergantung kepada artikel itu. Doktrin notis konstruktif tidak timbul bagi faedah seorang luar. Doktrin itu hanya timbul bagi faedah syarikat sahaja. Rama Corporation v Proved Tin and General Investments[44] telah menjelaskan perkara ini.

Kes Rama telah dipakai di dalam kes Mahkamah Tinggi di Malaysia, iaitu Heng Wan Co. Ltd. v Selangor Rice Mill Co. Ltd.[45] Di dalam kes ini Yeap Geok Hwai adalah seorang pengarah di dalam syarikat Y, sebuah syarikat perniagaan gula. Chua Kia Hong pula adalah pengurus kilang syarikat Z, sebuah syarikat pengilang beras. Dalam kes ini, Yeap Geok Hwai telah mendakwa yang Chua Kia Hong telah, bagi pihak Syarikat Z, berkontrak untuk membeli gula daripada plaintif. Syarikat Z telah menafikan dakwaan tersebut. Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, Gill J telah memutuskan yang tidak ada suatu kontrak seperti yang dikatakan itu. Sekiranya benar Chua Kia Hong telah membuat suatu perjanjian dengan Yeap Geok Hwai, Hakim yang arif itu berpendapat bahawa sebagai seorang pengurus kilang di syarikat pengilang beras, Chua Kia Hong dilihat tidak mempunyai kuasa nyata atau kuasa tersirat atau kuasa zahir untuk membeli gula bagi pihak defendan. Keadaannya adalah berlainan jika artikel-artikel telah memberi kuasa kepada Chua untuk membuat kontrak bagi pihak defendan, dan plaintif telah membaca artikel itu. Yang Arif Hakim itu telah berkata,[46]

Di sini saya mesti menimbangkan sama ada Chua Kia Hong mempunyai apa-apa kuasa, sama ada nyata atau tersirat, untuk bertindak sebagai ejen syarikat defendan bagi membuat suatu kontrak membeli gula bagi pihak syarikat itu. Yeap Geok Hwai telah menyatakan di dalam keterangannya bahawa beliau dan tiada sesiapa pun dari syarikatnya yang telah mendalami artikel-artikel atau memorandum persatuan syarikat defendan. Tidak terdapat apa-apa keterangan bagi menunjukkan bahawa di bawah artikel-artikel atau memorandum persatuan syarikat itu terdapat apa-apa kuasa untuk melantik atau memberi kuasa kepada ejen. Di dalam Rama Corporation Ltd. v Proved Tin and General Investments Ltd. [1952] Q.B. 147, telahpun diputuskan bahawa seseorang yang semasa membuat suatu kontrak dengan sebuah syarikat tidak mempunyai pengetahuan tentang artikel-artikel persatuan syarikat itu tidaklah boleh bergantung kepada artikel tersebut sebagai memberi kuasa ostensib atau zahir kepada ejen syarikat itu yang telah berurus dengannya, dan bahawa doktrin notis konstruktif mengenai dokumen-dokumen syarikat yang telah didaftarkan adalah suatu doktrin yang benar-benar negatif yang tidak berkuatkuasa terhadap syarikat itu tetapi adalah hanya bagi faedah syarikat itu sahaja.”

(e) Pemalsuan (“Forgery”)

Kerapkali dikatakan bahawa seseorang itu tidak dapat perlindungan daripada kaedah Turquand jika dokumen yang digunakan untuk bergantung itu adalah satu dokumen palsu. Ini adalah berasaskan kepada keputusan House of Lords di dalam Ruben v Great Fingall Consolidated.47 R telah meminjamkan wang kepada sebuah syarikat dan telah diberi suatu sijil syer sebagai sekuriti oleh setiausaha syarikat itu. Sijil itu telah menyatakan bahawa R adalah tuanpunya berdaftar untuk syer-syer itu. Kesemua tindakan ini nampaknya mematuhi artikel-artikel syarikat itu. Yang sebenarnya, setiausaha itu telah memalsukan tandatangan pengarah-pengarah dan meletakkan mohor tanpa mempunyai kuasa. House of Lords memutuskan bahawa syarikat itu tidak bertanggungan untuk wang yang dipinjam dari R itu dan bahawa ianya tidak bertanggungan bagi penipuan setiausaha itu.

Lord Loreburn telah berkata:[48]

“Sijil palsu itu adalah sesuatu yang langsung tidak sah. Memanglah benar bahawa bagi orang-orang yang berurusan dengan syarikat yang berhad tanggungannya adalah tidak terikat untuk memeriksa pengurusan dalamannya, dan tidak akan terjejas oleh apa-apa yang tidak betul yang mereka tidak mempunyai notis mengenainya. Akan tetapi doktrin ini, yang sudah diterima, hanya terpakai kepada perkara-perkara tak betul, yang kalau tidak akan menjejas satu transaksi yang sebenar. Ianya tidak terpakai untuk satu penipuan.”

Keputusan House of Lords telah dipengaruhi oleh fakta bahawa orang yang telah bertindak bagi pihak syarikat ialah seorang setiausaha syarikat. Pada zaman itu setiausaha tidak diiktiraf sebagai mempunyai kuasa untuk mengikatkan syarikatnya.[49] Pendekatan itu telah berubah dalam zaman moden ini dan beberapa kes[50] telah mengakui bahawa seorang setiausaha memainkan peranan yang penting dalam sesebuah syarikat. Dalam Panorama Development (Guilford) Ltd v Fidelis Furnishing Fabrics Ltd[51] telah diputuskan bahawa seorang setiausaha mempunyai kuasa untuk memasuki kontrak-kontrak bagi pihak syarikatnya di dalam hal-hal berkaitan pentadbiran syarikat. Tambahan pula, Akta-akta syarikat yang moden telah memberi tugas-tugas statutori yang penting kepada seorang setiausaha. Oleh yang demikian kekuatan kes Ruben nampaknya agar lemah dalam zaman ini.

Seperti dihujahkan oleh Gower,[52] jika keputusan Ruben didasarkan atas doktrin bahawa seorang majikan tidak bertanggungjawab bagi pemalsuan (“forgery”) pekerjanya, doktrin itu telah dinafikan dalam beberapa kes[53] dalam bidang-bidang yang lain daripada undang-undang syarikat. Jika suatu dokumen palsu dikemukakan oleh seorang pekerja syarikat dalam bidangkuasa kerja pekerja itu, syarikatnya haruslah bertanggungjawab. Persoalan penting bukanlah sama ada dokumen itu palsu tetapi sama ada pekerja itu telah bertindak dalam bidangkuasa zahirnya.

Syarikat mengemukakan pegawainya sebagai mempunyai kuasa

Kadangkala seorang pegawai akan menguatkuasakan suatu kuasa yang lazimnya ada padanya tetapi sebenarnya tidak ada padanya pada waktu itu oleh kerana beberapa sebab, misalnya perlantikan yang tidak betul atau kerana kuasanya telah ditarik balik oleh syarikat. Disinilah prinsip “holding-out” terpakai. Di mana sesebuah syarikat mengemukakan (“holds out”) seseorang sebagai pemegang suatu jawatan tertentu (misalnya sebagai pengarah) di dalam syarikat itu dan orang tersebut menguatkuasakan kuasa yang lazimnya diberi untuk jawatan itu maka syarikat adalah terikat dengan tindakannya walaupun mungkin perlantikannya tidak betul ataupun beliau tidak mempunyai kuasa itu sebenarnya. Kes Freeman & Lockyer v Buckhurst Park Properties[54] menjelaskan perkara ini. Dimana dalam kes ini K, seorang pengarah Syarikat B telah menguatkuasakan kuasa pengarah urusan dan telah bertindak sebagai pengarah urusan walaupun beliau tidak pernah dilantik ke jawatan tersebut. Lembaga pengarah syarikat B mengetahui tentang keadaan ini. K, bagi pihak syarikat itu telah melantik seorang arkitek untuk menjalankan kerja-kerja yang berkaitan dengan perniagaan syarikat. Artikel-artikel Syarikat B memperuntukkan bahawa syarikat itu mempunyai kuasa melantik seorang pengurus urusan. Arkitek itu telah menuntut upahannya daripada syarikat tersebut. Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa syarikat itu adalah bertanggungan kerana ianya telah mengemukakan K sebagai seorang pengarah urusan dan tindakannya adalah di dalam bidangkuasa yang lazim kepada jawatan tersebut. Hakim Diplock di dalam keputusannya telah mengaturkan empat syarat untuk mengenakan tanggungan ke atas sesebuah syarikat di dalam keadaan begitu. Syarat-syarat itu ialah:[55]

(1) bahawa satu pernyataan telah dibuat kepada pembuat kontrak bahawa ejen itu mempunyai kuasa untuk membuat kontrak jenis yang hendak dikuatkuasakan itu bagi pihak syarikat;

(2) bahawa pernyataan sedemikian telah dibuat oleh seorang atau orang-orang yang mempunyai kuasa “sebenar” untuk mengurus perniagaan syarikat sama ada secara amnya ataupun berkenaan dengan perkara-perkara yang berkait dengan kontrak itu;

(3) bahawa beliau pernyataan sedemikian untuk membuat kontrak itu, iaitu, beliau sebenarnya telah bergantung kepadanya, dan

(4) bahawa mengikut memorandum atau artikel-artikel persatuannya, syarikat telah tidak hilang keupayaannya sama ada untuk membuat kontrak jenis yang hendak dikuatkuasakan itu atau untuk memberikan kuasa untuk membuat kontrak jenis tersebut kepada ejennya”.

Kes Freeman & Lockyer telah dipakai di dalam Hely-Hutchinson v Brayhead.[56] Di dalam kes itu pengerusi sebuah syarikat, walaupun tidak dilantik sebagai pengarah urusan, telah bertindak sebagai pengarah urusan dengan diketahui oleh badan pengarahnya. Mahkamah telah memutuskan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk membuat kontrak dengan pihak ketiga. Oleh itu kontrak yang dibuatnya akan mengikat syarikat.

Walaubagaimana pun prinsip kes Freeman & Lockyer tidak dipakai dalam kes Malaysia, Chew Hock San & Ors v Connaught Housing Development.[57] Kes Chew Hock San telah melibatkan sebuah syarikat pemaju rumah. Tanpa pengetahuan syarikat itu seorang kerani am syarikat itu telah menerima bayaran tempahan untuk kedai-kedai yang akan dibina oleh syarikat itu daripada beberapa pelanggan sebelum penempahan dibuka dengan rasmi. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa berdasarkan fakta-fakta kes itu kerani am itu telah bertindak di luar kuasanya dan tanpa pengetahuan syarikat. Syarikat itu tidak mengemukakan kerani am itu sebagai mempunyai kuasa untuk menjalankan urusan itu kerana ia tidak membuat apa-apa pernyataan atau representasi bahawa kerani itu mempunyai kuasa untuk menerima penempahan.58 Walaupun dianggapkan bahawa representasi kerani am itu mempunyai kuasa benar dibuat oleh kerani-kerani tempahan, representasi itu tidak akan ada kesan jika kerani-kerani tempahan itu tidak ada kuasa benar untuk membuat representasi itu.59 Representasi bahawa seorang pegawai mempunyai kuasa untuk menjalankan suatu urusan mestilah dibuat oleh badan atau pegawai lain yang mempunyai kuasa benar. Representasi oleh seorang pegawai lain hanya mempunyai kuasa zahir tidak mencukupi.60

Kes Freeman & Lockyer juga tidak dipakai dalam kes Malaysia, Woodland Developments Sdn Bhd v Standard Chartered Bank: PJTV & Densun (M) Sdn Bhd, Third Party.[61] Dalam kes Woodland dua orang pengarah sebuah syarikat telah mengarahkan sebuah bank membayar tiga cek yang menjadi hak syarikat itu kepada seorang pihak ketiga. Syarikat itu telah mendakwa bank itu. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pengarah-pengarah itu tidak bertindak bagi pihak syarikat itu. Bank itu tidak berhak bergantung kepada pernyataan lisan dua orang pengarah itu bahawa mereka mempunyai kuasa. Bank itu seharusnya menyiasat perkara tersebut. Bank itu tidak dapat menggunakan kes Freeman & Lockyer kerana syarikat itu tidak membuat apa-apa pernyataan kepada bank itu mengenai hal ini, seperti dikehendaki oleh kes itu.[62]

Di sini rujukan perlulah dibuat kepada seksyen 127 Akta Syarikat 1965 yang dibaca seperti berikut:

“Tindakan-tindakan seorang pengarah atau pengurus atau setiausaha hendaklah menjadi sah tanpa dikira mana-mana kecacatan di dalam perlantikan atau kelayakannya yang mungkin terdapat kemudiannya.”

Rujukan mestilah juga dibuat kepada artikel 89 kepada Jadual A yang dibaca seperti berikut:

“Semua tindakan yang diambil oleh mana-mana mesyuarat pengarah atau oleh suatu jawatankuasa pengarah atau oleh sesiapa yang bertindak sebagai seorang pengarah, tanpa dikira bahawa kemudiannya didapati bahawa ada apa-apa kecacatan di dalam perlantikan mana-mana pengarah sedemikian atau orang yang bertindak seperti yang dikatakan tadi, ataupun bahawa mereka atau sesiapa di antara mereka telah tidak layak, hendaklah menjadi sah seperti mana orang sedemikian telah dilantik dengan betul dan telah layak menjadi seorang pengarah.”

Dengan sekali pandang peruntukan-peruntukan ini mungkin menunjukkan yang kaedah-kaedah yang dibincangkan di atas tadi adalah tidak perlu. Undang-undang kes menunjukkan yang ini tidak benar. Nampaknya seksyen 127 dan artikel 89 hanya terpakai apabila terdapat satu kecacatan di dalam perlantikan atau kelayakan pengarah. Ianya tidak terpakai di mana tidak ada perlantikan langsung. Perkara ini adalah jelas dari keputusan Morris v Kansen.[63] K dan C adalah pengarah-pengarah dan pemegang-pemegang syer di dalam Syarikat D. C telah mendakwa bahawa suatu mesyuarat badan pengarah diadakan di dalam tahun 1940, dan seorang lain bernama S, telah dilantik sebagai pengarah tambahan. Walaubagaimanapun ini adalah tidak benar dan minit mesyuarat untuk mesyuarat itu juga adalah palsu. Ini bermaksud S tidak pernah dilantik sebagai pengarah. Mesyuarat agung syarikat D tidak diadakan pada tahun 1941 dan mengikut artikel-artikelnya semua pengarahnya tidak lagi menjadi pengarah yang sah. Di dalam tahun 1942, semasa suatu “mesyuarat” C dan S kononnya telah melantik M sebagai seorang pengarah dan mereka bertiga (C, S dan M) kononnya menempatkan syer-syer kepada M. House of Lords telah memutuskan bahawa perlantikan M dan penempatan syer-syer itu adalah tak sah. Seksyen 127 dan artikel-artikel seperti artikel 89 mengesahkan tindakan-tindakan oleh pengarah yang perlantikannya dengan beberapa sebab telah tercacat. Ianya tidak mengesahkan tindakan pengarah yang telah tidak dilantik langsung. Kedua-dua C dan S telah tidak menjadi pengarah kerana perlantikkan C telah tamat pada tahun 1941 dan S pula tidak pernah dilantik. Tambahan pula Kaedah Turquand tidak terpakai terhadap tuntutan syer-syer kepada M kerana M tidak bertindak sebagai orang luar. M bertindak sebagai pengarah dalam urusan itu. M sebagai seorang pengarah dianggap sebagai mempunyai pengetahuan bahawa urusan penempatan syer itu tidak sempurna.[64]

Kesimpulan

Beberapa negara Komanwel, contohnya England dan Australia, telah mengambil langkah untuk menghapuskan doktrin notis konstruktif dengan menggubal peruntukkan-peruntukkan khas dalam perundangan mereka, Di England mulai 1972 beberapa langkah telah diambil untuk menghadkan penguasaan doktrin itu. Pada tahun 1985 England telah menggubal dan memasukkan seksyen-seksyen baru yang penting, iaitu seksyen-seksyen 35A, 35B dan 711A, dalam Akta Syarikat 1985 yang terpakai di England pada masa sekarang. Seksyen 711A menghapuskan doktrin notis konstruktif, kecuali dalam kes-kes gadaian harta yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat. Sungguhpun doktrin itu telah dihapuskan, pihak luar masih tidak dilindungi dalam kes-kes dimana dia sebagai seorang munasabah sepatutnya membuat penyiasatan. Jadi penghapusan doktrin tersebut tidak menyebabkan syarikat kehilangan perlindungan daripada pihak luar yang cuba mengambil kesempatan.

Di Australia pada tahun 1983 beberapa perubahan telah dibuat kepada doktrin notis konstruktif melalui statut. Akibat perubahan-perubahan ini pada amnya doktrin itu tidak terpakai terhadap seorang luar yang berurusan dengan sebuah syarikat. Pihak luar, iaitu pihak yang tidak ada hubungan dengan syarikat (seperti pengarah) boleh menganggap bahawa syarikat itu telah mematuhi perlembagaanya. Pihak luar yang mempunyai pengetahuan sebenar (“actual knowledge”) bahawa perlembagaan syarikat itu tidak dipatuhi, tidak akan dilindungi. Perubahan-perubahan di England dan Australia tidak melepaskan kewajipan pengarah-pengarah syarikat untuk mematuhi perlembagaan syarikat. Perubahan-perubahan ini hanya melindungi seorang pihak luar daripada kesan-kesan notis konstruktif di bawah Common Law, sungguhpun ia ada had-hadnya.[65]

Doktrin notis konstruktif sebenarnya telah diwujudkan di England oleh Mahkamah melalui prinsip ekuiti dalam kes-kes berkaitan urusan tanah.[66] Dalam kurun ke 19 doktrin itu diterimapakai dalam undang-undang syarikat terhadap pihak luar yang berurusan dengan sesebuah syarikat. Memang tujuan asalnya adalah untuk melindungi syarikat dan hartanya. Namun demikian doktrin notis konstruktif kadangkala boleh menjadi satu perangkap untuk pihak luar sungguhpun dia bertindak dengan suci hati. Di sini timbul persoalan sama ada doktrin itu masih perlu dalam zaman moden ini. Walaupun kaedah Turquand telah diwujudkan untuk meringankan kesan doktrin itu serta melindungi pihak luar tetapi ia tidak memadai.

Penulis-penulis ingin menyarankan bahawa adalah wajar untuk Malaysia mengekalkan pemakaian doktrin ini di dalam kes-kes gadaian harta. Namun demikian kami berpendapat bahawa di dalam kes-kes lain perubahan perlu dibuat melalui statut untuk menghadkan pemakaian doktrin ini, melainkan pihak luar mempunyai notis sebenar atau sebagai seorang yang munasabah di harus menyiasat.

Professor Dato’P. Balan*

Prof. Madya Talat Mahmood[*]

Ahmad Saufi bin Abdul Rahman*

[*]Kakitangan Akademik

Fakulti Undang-undang

Universiti Malaya


[1]Sistem pendaftaran dokumen dengan Pendaftar Syarikat telah diwujudkan di England mulai tahun 1856 oleh Joint Stock Companies Act 1856. Contoh-contoh dokumen yang perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat di Malaysia oleh Akta Syarikat 1965 ialah memorandum persatuan (seksyen 16), artikel-artikel persatuan (seksyen 16) dan resolusi-resolusi khas (seksyen 152).

[2]Contoh-contoh buku daftar itu ialah buku daftar gadaian (seksyen 115), buku daftar pegangan syer pengarah (seksyen 134) buku daftar pengarah, pengurus dan setiausaha (seksyen 141) dan buku daftar ahli (seksyen 158).

[3](1857) 6 HLC 401, 419.

[4]Ibid di perenggan 419.

[5]Suratikatan waad diganti sekarang oleh memorandum persatuan dan artikel-artikel persatuan.

[6][1986] 1 MLJ 84, 88.

[7]Ibid di m.s. 88-89.

[8][1994] 2 MLJ 201.

[9]Ibid di m.s. 207.

[10]Woodland Development v Chartered Bank (PJTV & Densun (M), Third Party [1986] 1 MLJ 84, 88.

[11]Irvine v Union Bank of Australia (1877) 2 App Cas 366, 379.

[12]UMBC v Aluminex [1993] 3 MLJ 587.

[13]Untuk suatu perbincangan yang menarik mengenai hal in sila rujuk kepada Gower’s Principles of Modern Company Law (Edisi Ke 4) Bab 9.

[14][1994] 2 MLJ 201.

[15] Borang ini didapati dalam Peraturan-Peraturan Syarikat 1966.

[16] Rujuk kepada Seksyen 123(4) Akta Syarikat 1965.

[17] Supra n 14 di m.s. 208.

[18] Gower, Principles of Modern Company Law, Edisi Ke 4 m.s. 191.

[19]Contohnya, Bloomenthal v Ford (1897) A.C. 156.

[20]Supra n.18 nota kaki 39.

[21]Ashbury Railway Co v Riche (1875) LR 7HL 653.

[22]Re Jon Beaufort (London) Ltd [1953] Ch 131. Kes ini adalah suatu contoh untuk menunjukkan bahawa doktrin notis konstruktif boleh mendatangkan kesusahan yang amat berat kepada pihak luar sungguhpun beliau bertindak dengan suci hati. Tambahan pula, seperti diterangkan oleh Russel J di dalam York Corporation v Henry Leetham & Sons Ltd [1924] 1 Ch 557,573, “suatu perjanjian ultra vires tidak boleh menjadi intra vires dengan alasan estoppel, perjalanan masa, pengesahan, penerimaan atau kelewatan”.

[23]Pameron Holdings Sdn Bhd v Ganda Holdings Bhd (1988) 1 MSCLC 90, 165; Public Bank Bhd v Metro Construction Sdn Bhd [1991] 3 MLJ 56; Executive Aids Sdn Bhd v Kuala Lumpur Finance Bhd [1992] 1 MLJ 89.

[24]Dalam konteks ini lihat Ford, Company Law, Edisi kedua, m.s. 99 dan Rolled Steel Products (Holdings) Ltd v British Steel Corp [1984] BCLC 466.

[25]Contohnya, mereka boleh membuat kontrak bagi pihak syarikat. Seksyen 35(4) tidak menetapkan apa-apa formaliti khas bagi bentuk kontrak, dan memberikan syarikat taraf yang sama seperti seseorang individu dalam hal membuat kontrak.

[26]Seperti dalam kes Tan Ah Tong v Perwira Habib Bank Malaysia Bhd [1998] 3 CLJ 833.

[27](1855) 5 E & B 248.

[28](1875) L.R. 7HL 869.+

[29]Ibid di m.s. 894.

[30]Suratikatan waad diganti sekarang oleh memorandum persatuan dan artikel-artikel persatuan.

[31] Resolusi am tidak perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat. Resolusi khas mestilah didaftarkan di bawah seksyen 152 Akta Syarikat 1965.

[32] (1856) 6 E & B 327.

[33] [1998] 3 CLJ 964.

[34]Ibid m.s. 984.

[35][1998] 3 CLJ 833.

[36][1994] 2 MLJ 201.

[37] (1888) 38 ChD 156.

[38] Ibid m.s. 170.

[39]Underwood Ltd v Bank of Liverpool [1924] 1KB 775. Lihat juga kes Malaysia, Woodlands Development Sdn Bhd v Chartered Bank (PJTV Densun (M) Sdn Bhd) Third Party [1986] 1 MLJ 84.

[40] [1927] 1 KB 826.

[41] [1998] 1 MLJ 465.

[42] [1995] 2 MLJ 43, 55.

[43] [1995] 2 MLJ 770, 832.

[44][1952] 1 All ER 554, [1952] QB 147.

[45][1967] 2 MLJ 44.

[46] Ibid. di m.s. 45

[47] (1906) AC 439.

[48]Ibid. di m.s. 443.

[49]Lihat Barnett v South London Tramways Co. (1881) 18 QBD 815.

[50]Panaroma Developments (Guildford) Ltd v Fidelis Furnishing Fabrics Ltd [1971] 2 Q.B. 711; Tan Ah Tong v Perwira Habib Bank Malaysia Bhd [1998] 3 CLJ 833.

[51][1971] 2 Q.B. 711.

[52]Gower, Principles of Modern Company Law, Edisi Ke 4 m.s. 204-205.

[53]Lloyd v Grace, Smith & Co [1912] AC 716 (HL), Uxbridge Building Society v Pickard [1939] 2 K.B. 248 CA.

[54] [1964] 1 All ER 630; [1964] 2 QB 480 (CA).

[55] [1964] 2 QB 480, 505-506.

[56] [1968] 1 QB 549.

[57] [1985] 1 MLJ 350.

[58]Ibid. m.s 354.

[59]Ibid. m.s 354.

[60]Lihat Crabtree-Vickters Pty Ltd v Australian Direct Mail Advertising & Addressing Co Pty Ltd (1975) 133 CLR 72; 7 ALR 527. Lihat juga Rachagan, Pascoe & Joshi, Principles of Company Law in Malaysia (2002) (Butterworths Asia) m.s. 143; Wishart, Survey of Malaysian Law 1986 m.s. 39.

[61] [1986] 1 MLJ 84.

[62]Ibid m.s. 90.

[63] [1946] AC 459.

[64]Dalam konteks ini rujuk juga kepada Hely-Hutchinson v Brayhead Ltd [1968] 1 QB 549; 3 All ER 98.

[65]Lihat ANZ Executors & Trustee Company Ltd v Quintex Australia Ltd (1990) 8 ACLC 980.

[66]Rujuk kepada Fararr’s Company Law, Edisi Ke 4 m.s. 85-86.


CommonLII: Feedback | Privacy Policy | Disclaimers
URL: http://www.commonlii.org/my/other/JMCL